Dr Mahathir dakwa ramai tidak bersetuju darurat tetapi takut bersuara

Dr Mahathir dakwa ramai  tidak bersetuju darurat tetapi takut bersuara

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu ramai pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan proklamasi darurat tetapi mereka takut untuk menyuarakannya.

Melalui catatan di blognya, Mahathir berkata dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas cuba mendapatkan pendapat pelbagai pihak berkenaan pelaksanaan darurat pada 12 Januari lalu.

“Ramai mereka yang berpendapat darurat tidak perlu. Mereka sebut beberapa sebab mereka berpendapat demikian.

“Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka,” katanya.

Menurutnya, rata-rata daripada mereka takut untuk bersuara kerana menganggap kerajaan sedia ada berkuasa melakukan apa sahaja termasuk denda berjuta-juta dan hukuman penjara.

“Kata mereka, mereka takut kerana kerajaan penuh kuasa dan boleh buat apa sahaja kepada mereka. Denda sebanyak RM5 juta dan penjara 10 tahun. Tidak boleh dapat perlindungan undang-undang.

“Saya cuba jelas kerajaan tidak boleh buat begitu. Tetapi mereka tidak berasa senang.

“Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik – mereka tolak,” katanya.

Meskipun tidak menyebut tentang mana-mana individu dalam catatan blognya itu, Ahli Parlimen Langkawi sebelum ini pernah berkata bahawa “kuasa mutlak” yang diberikan kepada penggantinya Muhyiddin Yassin berikutan pengisytiharan darurat akan menyebabkan berlaku “pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa”.

Katanya, masalah yang berpunca daripada wabak Covid-19 tidak boleh diselesaikan dengan mudah.

Catatan blognya itu hadir tidak lama selepas Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa setakat ini terdapat antara 114 hingga 115 ahli parlimen yang bersepakat mahukan darurat dibatalkan.

Kata presiden PKR itu lagi dengan jumlah berkenaan cukup untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mempertimbangkan usul tersebut dan memanggil sidang khas parlimen dengan segera.

sumber penuh: https://www.malaysiakini.com/news/560335

COMMENTS