kedudukan Malaysia dalam CPI mungkin merudum- Ketua Pemuda PKR

kedudukan Malaysia dalam CPI mungkin merudum- Ketua Pemuda PKR

Kemerosotan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah (CPI) yang mencatatkan kemerosotan pada 2020 akan lebih merudum lebih teruk tahun ini jika proses semak dan imbang kerajaan gagal dilakukan, kata Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir.

Merujuk laporan CPI oleh Transparency International Malaysia (TI-M) yang menunjukkan markah Malaysia merosot dua mata berbanding 2019, Akmal berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai iltizam jelas mahu membasmi rasuah.

PN juga katanya gagal meneruskan prestasi baik dan usaha ditunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 dalam usahanya membanteras rasuah.

“Tidak mustahil indeks CPI bagi 2021 akan terus merudum jatuh sejajar dengan langkah perdana menteri mengumumkan proklamasi darurat yang menyebabkan parlimen digantung sekali gus menggagalkan proses semak dan imbang.

“Keengganan kerajaan PN bertanggungjawab atau mengambil langkah proaktif bagi mengangkat agenda ketelusan serta tatekelola yang baik akan menyebabkan negara mengambil langkah ke belakang dalam usaha membanteras rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam TI-M membentangkan laporan tahunan berkenaan CPI yang menyaksikan kedudukan Malaysia merosot enam anak tangga kepada kedudukan 57.

CPI untuk Malaysia menunjukkan peningkatan pada 2019.

Indeks itu merupakan kajian persepsi pertubuhan berkenaan di seluruh dunia membabitkan lebih 100 negara. Singapura berada di kedudukan keempat secara keseluruhan.
>Meskipun mengakui penurunan markah itu mungkin dilihat tidak signifikan, Presiden TI-M Muhammad Mohan menyifatkan trajektori penurunan itu sebagai “membimbangkan”.

 

Kata Akmal, kemerosotan kedudukan Malaysia itu perlu dipandang serius kerana pada 2019, Malaysia naik 10 anak tangga ke kedudukan 51 berbanding ke-61 pada 2018 hasil komitmen PH menangani rasuah dengan membongkar skandal ketirisan serta melakukan penambahbaikan institusi.

Ahli parlimen Johor Bahru itu berkata, kemerosotan berkenaan menjejaskan keyakinan pelabur dan ia tergambar daripada kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) negara yang menurun sehingga 68 peratus seperti laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2020.

Malah, dakwa Akmal, faktor terbesar kemerosotan skor CPI adalah disebabkan sogokan jawatan kepada ahli parlimen bagi mengekalkan kuasa PN di samping keputusan melepaskan tanpa dibebaskan terhadap kes-kes rasuah berprofil tinggi di mahkamah.

Setelah hampir setahun mentadbir juga, katanya, PN tidak mampu membawa sebarang reformasi institusi, selain tidak telus dalam pengurusan projek-projek bernilai tinggi seperti pengendalian pampasan bagi membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

“Tanpa dasar yang jelas serta kesungguhan dan keberanian politik dalam menangani perkara ini akan meningkatkan kesukaran untuk ekonomi Malaysia kembali bangkit; memperluaskan kembali budaya ketirisan, kroni dan rasuah; yang akhirnya akan menambah derita sengsara rakyat,” katanya lagi.

sumber penuh: https://www.malaysiakini.com/news/560890

COMMENTS