Wanita PKR mencabar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan Perhimpunan Agung Umno (PAU)

Wanita PKR mencabar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan Perhimpunan Agung Umno (PAU)

Wanita PKR mencabar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini diteruskan.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR Loh Ker Chean, berkata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan telah mengumumkan bahawa usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke PAU pada 31 Januari.

“Berdasarkan perkembangan ini, Wanita PKR mencabar Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin supaya membenarkan PAU berlangsung tanpa menggunakan sebarang helah politik termasuk alasan wabak Covid-19 untuk menghalang PAU,” kata Loh dalam satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan, Umno bersedia mengadakan AGM secara dalam talian untuk mengelakkan risiko Covid-19 merebak lebih jauh.

“Wanita PKR melontarkan cabaran ini kerana mengambil iktibar daripada insiden persembahan cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 2020 oleh perdana menteri demi kepentingan politik peribadinya,” katanya.

Tambahnya, rakyat menyedari ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional dalam mentadbir negara ini.

Loh berkata, krisis politik yang berlanjutan sejak langkah Sheraton Februari lalu, telah menghambat usaha memerangi pandemik Covid-19, sehingga melemahkan keyakinan para pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Muhyiddin perlu mengutamakan penyelesaian kemelut ini dengan menerima keputusan PAU kelak sama ada Umno akan kekal dalam menyokong beliau atau tidak selaku perdana menteri dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.

“Malaysia telah menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku dalam Malaysia,” katanya.

Justeru, Loh menyeru perdana menteri supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya dia kehilangan sokongan Umno menerusi PAU pada hujung bulan ini.

sumber penuh: https://www.malaysiakini.com/news/558245

COMMENTS